mcmc
Maklumat Setempat

Pencemaran Sungai Kim Kim, Pasir Gudang

Kejadian pencemaran di Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang disifatkan sebagai satu episod hitam dalam program pembangunan semula atau kesedaran awam mengenai pemuliharaan sungai dan sumbernya kerana tidak dihayati sebaiknya.

Berikut adalah serba sedikit tip yang boleh diambil untuk berhadapan situasi semasa khususnya buat mereka yang berada dalam kawasan terjejas :

1. Sentiasa peka dengan perubahan keadaan sekitar khususnya bau yang tengit dan kurang menyenangkan terutamanya pada waktu angin yang kuat.

2. Sentiasa memantau keadaan kesihatan diri sendiri dan ahli keluarga yang lain dengan mengambil berat terhadap simptom-simptom seperti pedih mata, loya, muntah, pening, sakit dada dan sesak nafas, anda mungkin telah terdedah kepada pemcemaran bahan kimia berkenaan. Jadi segera dapatkan rawatan perubatan di klinik kesihatan atau hospital yang berhampiran.

3. Rawatan awal atau kecemasan yang mungkin boleh diberikan mangsa yang terdedah kepada pencemaran kimia ini termasuklah basuh anggota yang terjejas dengan air bersih yang banyak atau mandi, longgarkan pakaian yang ketat atau bantuan pernafasan bagi kes-kes sakit dada dan sesak nafas, atau lain-lain rawatan kecemasan yang bersesuaian bergantung kepada keadaan mangsa. INGAT rawatan kecemasan tidak boleh menggantikan rawatan perubatan yang perlu diterima oleh mangsa. Jadi, apapun keadaan mangsa, mangsa mesti mendapatkan rawatan perubatan secepat mungkin.

4. Kurangkan aktiviti di luar rumah. Mandi dengan kerap jika terpaksa berada di luar rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa kimia terkena anggota badan.

5. Elakkan daripada mengunjungi kawasan yang terjejas sehingga kawasan tersebut diisytiharkan selamat oleh pihak berkuasa.

6. Jika berasa khuatir & keadaan yang amat mendesak terutamanya terdapat ramai anak kecil & ahli keluarga yang tidak sihat, bolehlah mengambil tindakan untuk berpindah sementara dari kawasan terjejas sehingga keadaan menjadi reda.

7. Bagi mereka yang terpaksa memasuki kawasan terjejas terutamanya petugas-petugas yang terlibat, pastikan anda menggunakan peralatan perlindungan diri (PPE) yang bersesuaian dengan situasi sekarang ini. Contohnya ‘Half Facepiece Respirators with multigas cartridge’ kerana anda berdepan dengan risiko kimia merbahaya yang kemungkinan akut. Penggunaan ‘face mask’ N95/R95, ‘surgical mask’ atau ‘general purpose face mask’ adalah tidak sesuai untuk menangani pencemaran kimia.