SALAH satu sebab mengapa orang ramai terjerumus dalam scam ialah kerana kegagalan mengenal pasti sesuatu skim itu adalah scam. Mungkin disebabkan cetek ilmu kewangan dan pelaburan, ramai yang tidak tahu pelaburan mana yang bagus, yang biasa dan yang scam. Ramai juga yang melabur kerana terpesona dengan ayat-ayat indah yang ditabur oleh pengusaha scam!
Ada beberapa petunjuk yang boleh diikuti:
1. Semak laman web Bank Negara (BNM) – List of Licensed Financial Institutions. Jika nama syarikat tersebut tidak tersenarai, ia tidak mempunyai lesen dan juga kebenaran untuk menawarkan produk kewangan di Malaysia. Ini bermakna syarikat tersebut telah melanggar undang-undang, oleh itu risiko untuk melabur dengannya amat tinggi. Jika skim pelaburan itu gagal, besar kemungkinan semua wang pelabur akan terus lesap.
2. Lihat pulangan pelaburan (ROI) yang diberikan oleh skim tersebut. Walaupun kita semua sememangnya mahukan ROI yang tinggi, pulangan itu mestilah angka yang munasabah dan masuk akal. Jika para pelabur bertaraf dunia seperti Warren Buffett dan George Soros pun memberi pulangan hanya 20 peratus hingga 34 peratus setahun, adakah munasabah dan masuk akal orang yang tidak pernah dikenali dapat memberikan pulangan lebih tinggi?
Sebagai contoh, scam Swisscash memberikan pulangan 20 peratus sebulan (240 peratus setahun)! Walaupun ROI ‘skim’ ini amat menarik, sudah tentu ada yang tidak kena dengan pulangan yang tinggi menggunung itu. Umpamanya pasukan bola sepak Kampung Seri Wangi mengalahkan pasukan Barcelona 10–0!
3. Jika pulangan diberikan begitu tinggi dan menarik, sudah tentu semua media massa di Malaysia dan di dunia termasuk CNN, Fortune dan Forbes akan memberi liputan meluas kepada pengurus dana tersebut. Takkanlah media massa dunia (yang tahu semua pelaburan lain) begitu buta sehinggakan tidak pernah mendengar pulangan yang sebegitu hebat? Jadi jika tidak ada liputan oleh media massa (bukan hanya dalam Facebook dan YouTube!) maka sekali lagi skim itu amat mencurigakan.
4. Jika satu pelaburan, dana itu perlu mempunyai prospektus dan laporan tahunan. Maklumat seperti objektif dana, sejarah, pulangan, risiko, kegunaan wang yang dikutip, nama pengurus, kelayakan pengurus dan pengalaman pengurus mestilah ada dalam dokumen tadi, bukan main sebut mulut sahaja. Maklumat ini penting untuk kita membuat analisis dan penyelidikan tentang skim tersebut.
5. Dana itu juga perlu mempunyai auditor dan trustee. Nama, pengalaman serta kelayakan mereka mesti jelas dan bukan main sebut nama saja. Kedua-duanya adalah kritikal kerana tanpa mereka, tidak ada siapa memantau dana yang dikutip.
6. Nama syarikat dan pelaburan tersebut tidak boleh ada dalam senarai hitam BNM dan/atau Suruhanjaya Sekuriti. Jika ada, lupakan saja ‘pelaburan’ tersebut.
Jadi janganlah tertipu akan ayat-ayat dan lakonan mereka ini kerana semua itu adalah tirai untuk menutup usaha serong mereka.